Sejarah Terengganu
|
Sultan Zainal Abidin III, Sultan Trengganu (1881 -
1918)
Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu
terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.
"Negarakartagama",
tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000
SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat
pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.
Terengganu
kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu.
Seterusnya, Bendahara
Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh
Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman
dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai
Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.
Pengasas
Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan
"Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis,
karangan Raja
Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan
sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas
pemerintahan Sultan Sulaiman
Badrul Alam Shah. Sumber yang lain
pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri
Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
Mengikut hikayat
Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah
Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin
dijadikan anak
angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang
Chau Yang.
Tun Zainal Abidin
menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal
Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I
tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala
Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu
dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).
Sultan Zainal Abidin
I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah
Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang
anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula
dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki
takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas
tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda
terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni
Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada
tahun 1776.
Sultan Mansur I
digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku
peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus,
Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya
membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan
Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.
Baginda Omar
pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan
daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan
Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad.
Pada tahun 1839,
Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki
takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang
maju.
Apabila Baginda
Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera
baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan
Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan
"Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara
lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan
dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta
kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).
Sultan Mizan
Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan
Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.
Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38"
bertarikh 29 September 1942,
apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku
Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai
"Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942.
Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan
atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut
"Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.
Tengku Seri Paduka
Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember
1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin
Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang
DiPertuan Agong ke–6 dari 21
September 1965 hingga 20
September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku
Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail
Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera
baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda
menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud
Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud
mangkat pada 15
Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan
oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kesultanan Terengganu
1. 1708-1733: Tun Zainal Abidin
2. 1733-1794: Sultan Mansur I
3. 1794–1808: Sultan Zainal Abidin II
4. 1808–1830: Sultan Ahmad
5. 1830: Sultan Abdul Rahman
6. 1830–1831: Sultan Daud
7. 1831–1837: Sultan Mansur II
8. 1837–1839: Sultan Muhammad
9. 1839–1876: Baginda Omar
10. 1876–1881: Sultan Ahmad Shah II
11. 1881–1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
12. 1918–1920: Sultan Muhammad Shah II
13. 1920–1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
14. 1942-1945: Sultan Ali
15. 1945-1979: Sultan Ismail Nasaruddin Shah
16. 1979-1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
17. 1998-kini: Sultan Mizan Zainal Abidin
Makam-Makam DiRaja Terengganu
Makam Sultan pertama hinggalah makam Sultan ke-15.
Makam Kesultanan Terengganu.
Sultan Terengganu Pertama,
Sultan Zainal Abidin 1
Makam di Masjid Abidin ke Bukit Kelidang
Tun Zainal Abidin (Paduka Maharaja) Ibni Tun Habib
(Habab) Abdul Majid. Ayahandanya merupakan Bendahara Johor ke 19 bergelar Tun
Habib Abdul Majid ibni Sultan Muhammad, Bendahara Seri Maharaja @ Bendahara
Padang Saujana. Diputerakan di Johor pada 1678, Menaiki tahta pada 1708 dan mengikut
Thufatun Nafis kemangkatan baginda pada subuh malam Ahad 21 Ramadan 1146H
bersamaan 25.02.1733 dan dimakamkan di Bukit Kelidang, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-2,
Sultan Mansur 1
Dilahirkan sebagai Tuan Dalam @ Ku Tana Mansur ibni
Sultan Zainal Abidin. Baginda dikatakan seorang yang kebal dan tidak lut
senjata. Menjadi Sultan selepas kemangkatan ayahandanya dan jawatan berkenaan
telah ditolak oleh putera-putera yang lain. Pada masa ini Baginda berusia 10
tahun dan dikenali sebagai Tun Dalam atau Tun Kechik dan ada juga dikatakan
bergelar Yang Dipertuan Raja Kechik. Diputerakan pada 1726, Menaiki tahta 1733
dan Mangkat pada 26.01.1793 dalam usia 69 tahun dan dikenali sebagai Marhum
Janggut. Makam di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-3,
Sultan Zainal Abidin II.
Tarikh
lahirnya tidak dapat dipastikan dan berkemungkinan tahun 1744 berdasarkan
pendapat yang menyatakan baginda naik tahta pada usianya separuh umur
(50tahun). Naik tahta pada 14.07.1794 dan ada mengatakan tahun 1793. Mangkat
pada 1808 dan ada yang menyatakan 1812. Makamnya di kawasan Masjid Abidin.
Dikenali dengan panggilan Yang Dipertuan Mata Merah dan selepas mangkat
dikenali sebagai Marhum Misjid atau Marhum Mata Merah. Baginda merupakan
seorang daripada dua Sultan Terengganu yang tiga orang puteranya menjadi
Sultan. Makamnya di kawasan Masjid Abidin.
Sultan Terengganu Ke-4,
Sultan Ahmad Shah 1
Tengku
Ahmad ibni Sultan Zainal Abidin II Menaiki tahta pada 1808 dan mangkat pada
04.07.1830. Dikenali sebagai Marhum Parit kerana Baginda telah membina sebuah
parit yang besar sekeliling kota istananya dan kawasan Paya Bunga, Kuala
Terengganu. Makamnya di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.
Setiap kali Syah menghampiri makam Tuanku Sultan Ahmad, Syah akan tercium bau
harum. Walaupun Syah ke tempat lain dan kemudiannya kembali semula kemakamnya
Syah tetap akan tercium haruman yang sama.
Sultan Terengganu Ke-5,
Sultan Abdul Rahman
Tengku
Abdul Rahman ibni Sultan Zainal Abidin II dilantik sebagai Sultan Terengganu
pada 04.07.1830 selepas kemangkatan saudara seibunya, Sultan Ahmad Shah 1.
Walau bagaimanapun baginda hanya menjadi sultan selama 5 bulan 26 hari sahaja.
Mangkat pada 31.12.1830 dan digelar Marhum Surau. Makamnya di tanah perkuburan
Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-6,
Sultan Daud ibni Sultan Ahmad 1.
Terdapat konflik diantara pembesar mengenai perlantikan sultan yang baru
selepas kemangkatan Tuanku Abdul Rahman. Terdapat dua calon sultan iaitu Tengku
Daud ibni Sultan Ahmad 1 dengan Tengku Mansur ibni Sultan Zainal Abidin II.
Permakaman tidak dapat dijalankan kerana pengganti sultan belum dilantik.
Dengan ikhtiar isteri Al-Marhum Sultan Abdul Rahman, Tengku Puteri Tengku
Bulang, akhirnya Tengku Daud dilantik menjadi Sultan dan Tengku Mansur
dijanjikan sebagai pengganti Sultan Daud. Baginda dilantik sebagai Sultan pada
31.12.1830. Walau bagaimanapun baginda hanya sempat menjadi Sultan selama 1 bulan
sahaja. Mangkat pada 31.01.1831 dan digelar Marhum Kampung Daik. Makamnya di
tanah perkuburan Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-7,
Sultan Mansor II
Tengku Mansor naik tahta pada 31.01.1831 selepas
kemangkatan ayahanda saudaranya. Memerintah selama lebih kurang 7 tahun dan
mangkat pada tahun 1837. Baginda dimakamkan di tanah perkuburan Sheikh Ibrahim
dengan gelaran Marhum Mansor.
Sultan Terengganu Ke-8,
Sultan Muhammad
Sultan
Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah II Naik tahta pada 09.03.1837
sewaktu berusia 15 tahun dan mangkat pada tahun 1839. Dikenali sebagai Marhum
Telor kerana tuturkata dan suaranya pelat dan telor. Makamnya di kawasan Masjid
Abidin, Kuala Terengganu. Menurut penjaga makam ini adalah makamnya tetapi
dalam kebanyakan buku menyatakan makamnya di Kelantan.
Sultan Terengganu Ke-9 ,
Sultan Omar
Sultan
Omar ibni Al-Marhum Sultan Ahmad I naik tahta pada 31.01.1830 tetapi pada tahun
ini juga jatuh kerajaannya kerana berperang dengan Sultan Mansor II. Pada
04.11.1839 berjaya merebut kembali kerajaannya daripada Sultan Muhammad putera
Sultan Mansor II. Mangkat pada 12.04. 1876 dalam usia lebih kurang 70 tahun
dengan gelaran marhum baginda dan dimakamkan dalam kubah Masjid Abidin, Kuala
Terengganu. Baginda tidak dikurniakan anak lelaki. Pada 1874 baginda melantik
anakanda saudaranya Tengku Ahmad ibni Al-Marhum Yang Dipertuan Muda Tengku
Mahmud untuk mentadbir kerajaan Negeri Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-10,
Sultan Ahmad II
Baginda
menggantikan Ayahanda saudaranya sebagai Sultan Terengganu Ke - 10. Tidak
banyak yang diketahui mengenai baginda. Naik tahta pada 12.04.1876 dan mangkat
pada malam Ahad 18.12.1881 dan dimakamkan di Kubah Masjid Abidin dan dikenali
sebagai Marhum Baru. Semasa perkahwinan baginda dengan Tengku Puan Besar
Terengganu, Tengku Kalsom bt Sultan Muhammad Daik telah dibina panca persada
setinggi tujuh tingkat. Ini merupakan panca persada yang pertama di Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-11,
Sultan Zainal Abidin III.
Sultan Zainal Abidin Ibni Sultan Ahmad II dilahirkan pada 23.041864. Dilantik
sebagai Sultan Terengganu pada 19.12.1881. sewaktu berusia 16 tahun 7 bulan 27
hari. Baginda lahir pada 23.04.1864. Memerintah Terengganu selama lebih kurang
36 tahun 11 bulan dan 6 hari. Mangkat pada 25.11.1918 jam 02:25 pagi kerana
sesak nafas semenjak jam 11:00 malam. Dimakamkan pada jam 05:00pm di Kubah
Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Kemangkatan baginda merupakan kehilangan besar
bagi rakyat negeri Terengganu. Kesempatan ini telah diambil oleh pihak British
untuk mencengkam dengan lebih kuat penjajahannya keatas Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-12,
Sultan Muhammad II (Mantan Sultan)
Baginda
Merupakan putera sulung Sultan Zainal Abidin III. Diputerakan pada 01.05.1889
dari bondanya Cik Kalsom Haji Daud. Ayahandanya memanggil baginda dengan
gelaran manja "Awang". Naik tahta pada 25.11.1918 dan turun tahta
pada 21.05.1920 kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan British. Mangkat
pada 11.04.1956 (bulan Ramadan) di Istana Gong Kapas, Kuala Terengganu jam
11:00am hari Rabu. Makamnya di Kubah Masjid Abidin, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-13,
Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
Diputerakan
pada 01.12.1895 dan menaiki tahta mengantikan ayahandanya Sultan Zainal Abidin
III pada 21.05.1920. Mangkat pada hari Jumaat 25.09.1942 dalam bulan Ramadan
(14hb) jam 05:30pm kerana mengidap demam dan bisul selama beberapa hari.
Mangkat di Istana Timur Padang Negara dalam era pemerintahan Jepun di Tanah
Melayu.
No comments:
Post a Comment