Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu
terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan
takluk Palembang.
"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah,
terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat
pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat
pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun
Telanai.
Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan
kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama,
dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan
pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun
Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan
Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai
Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.
Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan
Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan
"Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis,
karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan
sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor. Sumber yang lain pula
dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri
Terengganu oleh Phra Chau Yang(Raja Perempuan Mas Cayam), Raja Pattani.
Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah
Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh
Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama
Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan
Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung
Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan
akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).
Istana
Maziah.
Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur
dengan gelaran Sultan
Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah
Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang
anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula
dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki
takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas
tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di
antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda
terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni
Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada
tahun 1776.
Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II
(1794–1808). Pada masa pemerintahan
baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad
Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan
berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta
kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.
Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi
baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya
sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda,
Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad
dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan
baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh
Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera
baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan
diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan
"Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara
lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan
dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta
kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).
Sultan
Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan
Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.
Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942,
apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku
Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai
"Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942.
Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942
oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini
dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu"
1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan
Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan
Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri
Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku
Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail
Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera
baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda
menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan
Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan
oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.
[sunting] Kesultanan
Terengganu
- 1708-1733: Tun Zainal Abidin
- 1733-1794: Sultan Mansur I
- 1794–1808: Sultan Zainal Abidin II
- 1808–1830: Sultan Ahmad
- 1830:
Sultan Abdul Rahman
- 1830–1831: Sultan Daud
- 1831–1837: Sultan Mansur II
- 1837–1839: Sultan Muhammad
- 1839–1876: Baginda Omar
- 1876–1881: Sultan Ahmad Shah II
- 1881–1918: Sultan Zainal Abidin III,
putera Sultan Ahmad Shah II ;
- 1918–1920: Sultan Muhammad Shah II
- 1920–1942: Sultan Sulaiman Badrul
Alam Shah
- 1942-1945: Sultan Ali
- 1945-1979: Sultan Ismail Nasaruddin
Shah
- 1979-1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi
Billah Shah
- 1998-kini:
Sultan Mizan Zainal Abidin
No comments:
Post a Comment